Tuesday, May 10, 2011

Aurat Wanita

Aurat Wanita


Apakah batasan aurat wanita?Batasan aurat wanita berbeza mengikut situasi berikut;1. Aurat bersama suami.2. Aurat di hadapan lelaki ajnabi2. Aurat di hadapan mahram3. Aurat di hadapan wanita lain


Apakah aurat wanita dengan suaminya?Tidak ada aurat antara suami dan isteri. Harus bagi suami melihat ke seluruh badan isterinya termasuk kemaluannya. Namun melihat kepada kemaluan adalah makruh secara umumnya termasuklah melihat kepada kemaluan sendiri.


Apa maksud lelaki ajnabi? Apakah batasan aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi?

Lelaki ajnabi bermaksud lelaki-lelaki asing, iaitu yang bukan suaminya dan juga bukan mahramnya. Aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi ialah keseluruhan badannya kecuali muka dan dua tangan (hingga pergelangannya). Inilah pandangan jumhur ulamak dan menjadi amalan kebanyakan wanita Islam hari ini.[1] Namun keharusan mendedahkan muka dan dua tangan itu terikat dengan suasana aman dari fitnah. Dalam keadaan fitnah, keseluruhan badan wanita adalah aurat dan wajib ditutup tanpa ada sebarang bahagian yang dikecualikan.




Apa dalil bagi aurat di hadapan lelaki ajnabi di atas?Dalilnya ialah firman Allah;“Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir darinya.


Dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka. (an-Nur; 31).Ayat di atas melarang seorang perempuan beriman mendedahkan perhiasan di badannya (kecuali yang zahir darinya). Ayat ini menjadi dalil yang cukup jelas bahawa seorang wanita wajib menutup auratnya di hadapan kaum lelaki ajnabi (iaitu lelaki yang bukan suami atau mahramnya yang dikecualikan Allah dari perintah tersebut yang akan dijelas nanti)Maksud “kecuali yang zahir darinya” ialah kecuali perhiasan yang terpaksa dizahirkan (yakni terpaksa diperlihatkan) iaitu pakaian yang dipakainya di mana tidak dapat dielakkan dari memperlihatkannya kepada orang lain. Ia juga bermaksud; perhiasan-perhiasan yang berada di bahagian badannya yang diharuskan oleh Syarak untuk mendedahkannya kepada orang lain (yakni tidak wajib ditutup) iaitu bahagian muka dan tangan.


Keharusan mendedahkan muka dan tangan adalah berdalilkan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Baihaqi dari Saidatina ‘Aisyah yang menceritakan; “Suatu hari Asma’ anak saidina Abu Bakar masuk untuk berjumpa Nabi s.a.w.. Kebetulan ketika itu ia memakai pakaian yang nipis (yang menampakkan bayangan kulitnya). Nabi s.a.w. lalu memalingkan pandangan darinya sambil bersabda (maksudnya): “Wahai Asma’, seorang wanita apabila telah datang haidh (yakni telah sampai umur baligh) tidak harus dilihat dari badannya melainkan ini dan ini sahaja”, sambil baginda menunjukkan kepada muka dan dua tangannya” (HR Imam Abu Daud).[2]


Siapakah mahram bagi seorang wanita?

Apakah batasan aurat wanita di hadapan mahramnya?


Mahram seorang wanita ialah lelaki yang haram dikahwininya buat selamanya sama ada kerana keturunan, perkahwinan atau susuan.[4]


Ia merangkumi;

1. Bapa kandung

2. Bapa mertua

3. Bapa susuan

4. Anak kandung

5. Anak tiri (yakni anak suami)

6. Anak susuan

7. Saudara lelaki kandung

8. Saudara lelaki susuan

9. Anak saudara lelaki

10. Bapa saudara




Di hadapan mahram-mahram di atas, tidak diwajibkan wanita menutup badannya kecuali kawasan antara pusat dan lutut sahaja. Ini adalah pandangan jumhur ulamak (termasuk mazhab Syafi’e dan Abu Hanifah). Jadi menurut jumhur ulamak; aurat seorang wanita di hadapan mahram-mahramnya hanya antara pusat dan lutut sahaja.


Namun ulama’-ulama’ mazhab Maliki dan Hanbali berpendapat; hanya bahagian muka, kepala, leher/tengkuk, dua tangan dan dua kaki sahaja yang harus didedahkan di hadapan mahram. Adapun bahagian-bahagian lain, ia tetap menjadi aurat dan wajib ditutup sekalipun di hadapan mahram. Pandangan ini disokong oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi di mana beliau menegaskan; “Bahagian badan wanita yang harus dilihat oleh mahram hanyalah tempat-tempat beradanya perhiasan bathin (dalaman) seperti telinga, rambut, leher, lengan dan betis. Adapun selainnya seperti paha, perut, kemaluan dan punggung, maka tidak harus didedah dan diperlihatkan sekalipun kepada mahram atau wanita lain.[5] Pandangan kedua inilah yang lebih menepati kehormatan seorang wanita berbanding pandangan jumhur tadi.


Apakah batasan aurat sesama wanita?

1. Aurat di hadapan wanita Islam. Aurat seorang wanita di hadapan wanita Islam adalah menyamai batasan auratnya di hadapan mahramnya, iaitu;


a) Menurut jumhur ulamak; antara pusat dan lutut. Jadi menurut pandangan jumhur ini, harusseorang wanita mendedahkan mana-mana bahagian dari badannya di hadapan wanita Islam kecuali bahagian antara pusat dan lutut sahaja.


b) Menurut sebahagian ulamak; seluruh badannya adalah aurat kecuali kepala, muka, dada, dua lengan dan dua betis. Jadi menurut pandangan ini, harus seorang wanita mendedahkan kepala, muka, dada, dua lengan dan dua betisnya di hadapan wanita Islam. Bahagian lain tidak harus didedahkan kerana ia masih tetap aurat walaupun di hadapan wanita Islam.[9] Pandangan ini ditarjih oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi sebagaimana dinyatakan tadi (sila baca kembali; aurat wanita di hadapan mahramnya).


Sejauhmana keharusan lelaki melihat kepada wanita?

Harus lelaki memandang wanita tetapi dengan tiga syarat;


1. Melihat kepada tempat bukan aurat (iaitu muka dan tangan sahaja). Adapun kepada aurat dilarang sama sekali sekalipun tanpa syahwat.


2. Melihat tanpa disertai syahwat. Jika dengan syahwat, haram melihatnya sekalipun pada tempat yang bukan aurat.


3. Tidak dikhuatiri mendatangkan fitnah.Larangan melihat kepada aurat berdalilkan sabda Nabi s.a.w.;لاَ يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ وَلاَ الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ، وَلاَ يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ، وَلاَ تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ“Janganlah lelaki melihat kepada aurat lelaki lain, janganlah wanita melihat aurat wanita lain. Jangan lelaki sesama lelaki berada di dalam satu pakaian dan janganlah wanita bersama wanita berada dalam satu pakaian” (HR Imam Muslim dari Abi Sa’id al-Khudri r.a.)





Apa hukum bersentuhan antara lelaki dan perempuan?


1. Jika hubungan mereka adalah suami-isteri, harus mereka saling bersentuhan tanpa ada had dan batasan, yakni harus bagi suami atau isteri menyentuh mana-mana bahagian dari badan pasangan masing-masing tanpa sebarang pengecualian.


2. Jika hubungan mereka adalah sesama mahram; harus mereka bersentuhan –sama ada bersalaman, memegang atau sebagainya-, akan tetapi khusus bagi kawasan yang bukan aurat sahaja, iaitu kawasan yang harus dilihat oleh mahram. Adapun kawasan aurat, tidak harus menyentuhnya sekalipun sesama mahram. Kaedahnya; “Bahagian yang tidak harus dilihat, maka menyentuhnya juga tidak harus. Bahagian yang harus dilihat, maka menyentuhnya juga harus (dengan syarat tanpa syahwat dan tidak mendatangkan fitnah)”.[14]


3. Jika mereka adalah ajnabi (tiada hubungan sebagai suami-isteri atau hubungan mahram); tidak harus sama sekali bersentuhan termasuk bersalaman.




Benarkah ada ulamak yang mengharuskan lelaki bersalaman dengan wanita yang telah tua yang tiada lagi syahwat?


Ya, iaitu ulamak-ulamak mazhab Hanafi.

Mereka berpandangan; harus seorang lelaki bersalaman dengan seorang wanita tua yang tidak lagi ada syahwat/keinginan kepadanya. Begitu juga, harus seorang wanita bersalaman dengan lelaki tua dengan syarat aman dari fitnah (yakni aman dari dorongan nafsu sama ada dari dirinya atau dari diri lelaki tua itu). Jika tidak aman dari fitnah, tidak harus bersalaman.




Namun menurut jumhur ulamak; haram bersalaman antara lelaki dan wanita ajnabi sama ada muda atau tua, sama ada masih ada syahwat atau tiada syahwat kerana dalil-dalil tadi menyebutkan pengharaman secara umum tanpa adanya pengecualian.[16]

No comments:

Post a Comment