Mengapa manusia tidak dapat mentaati perintah Allah SWT? Adakah mereka lupa atau sengaja tidak mahu bersyukur diatas segala nikmat dan rezeki dari Allah SWT
Apakah itu HIDAYAH? Pentingkah ia didalam kehidupan kita sebagai hamba Allah? Bagaimanakah cara untuk mendapat HIDAYAH? Adakah sebagai umat Islam kita masih lagi memerlukan HIDAYAH? Apakah usaha yang harus dilakukan agar manusia mendapat HIDAYAH dari Allah SWT?
Maksud sebuah Hadits dari Rasulullah SAW bahawa apabila seorang itu melakukan satu dosa ataupun maksiat maka akan lahirlah satu titik hitam didalam hatinya. Apabila dia melakukan dosa yang lain maka akan bertambahlah titik hitam itu.
Jika orang itu beristighfar dan memohon ampun kepada Allah maka titik hitam itu akan terhapus. Jika tidak maka titik hitam itu akan terus bertambah dek dosa dan kelalaian dari mengingati Allah SWT. Sehinggalah titik hitam itu terus menjadi besar dan memenuhi hatinya dan hatinya akan diselubungi kegelapan.
Apabila hati sudah didalam kegelapan maka orang itu sudah tidak lagi mengetahui kebenaran dan tidak lagi cenderung untuk melakukan amal yang soleh. Telinga tidak akan mendengar yang haq. Mata tidak lagi nampak yang haq. Lidah tidak lagi bercakap yang haq kerana hati sudah dalam kebatilan disebabkan oleh kegelapan yang sudah bersarang didalam hati itu.
Mengapa Hati Mati?
Hati yang hitam ialah hati yang menjadi gelap kerana bergelumang dengan dosa. Setiap dosa yang dilakukan tanpa bertaubat akan menyebabkan satu titik hitam pada hati. Itu baru satu dosa. Bayangkan bagaimana kalau 10 dosa? 100 dosa? 1,000 dosa? Alangkah hitam dan kotornya hati ketika itu.
Perkara ini jelas digambarkan melalui hadis Rasulullah yang bermaksud:
"Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam."
(Hadis riwayat Ibn Majah)
Kenapa Hati Mati??
1. Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah. Allah berfirman bermaksud:
فَوَيلٌ لِلقٰسِيَةِ قُلوبُهُم مِن ذِكرِ اللَّهِ ۚ أُولٰئِكَ فى ضَلٰلٍ مُبينٍ
"Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata."
(Surah al-Zumar ayat 22)
2. Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani dengan sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitu juga hati. Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya. Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri.
Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah (berzikir). Firman Allah bermaksud:
الَّذينَ ءامَنوا وَتَطمَئِنُّ قُلوبُهُم بِذِكرِ اللَّهِ ۗ أَلا بِذِكرِ اللَّهِ تَطمَئِنُّ القُلوبُ
"Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu tenang tenteramlah hati manusia."
(Surah al-Ra'd ayat 28)
Tanda-Tanda Hati Mati
Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah:
1.Mengaku kenal Allah SWT, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.
2.Mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi mengabaikan sunnah baginda.
3.Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.
4.Memakan nikmat-nikmat Allah SWT, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.
5.Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.
6.Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.
7.Mengaku adanya seksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.
8.Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.
9.Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.
10.Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya.
Menurut Sheikh Ibni Athoillah Iskandari dalam kalam hikmahnya yang berikutnya:
Sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan juga tidak menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa.
Mati hati itu adalah kerana tiga perkara iaitu:
1.Hubbul dunia (kasihkan dunia)
2.Lalai daripada zikirullah (mengingati Allah)
3.Membanyakkan makan dan menjatuhkan anggota badan kepada maksiat kepada Allah.
Hidup hati itu kerana tiga perkara iaitu:
1.Zuhud dengan dunia
2.Zikrullah
3.Bergaul atau berkawan dengan aulia Allah.
Apakah itu HIDAYAH? HIDAYAH adalah satu cahaya ataupun petunjuk yang menerangi hati yang didalam kegelapan agar manusia tahu membezakan yang mana satu haq dan yang mana satu bathil. HIDAYAH adalah dari Allah dan hakmilik Allah yang diberi kepada mana-mana hambaNya yang dikasihi dan dikehendaki.
"Sesungguhnya engkau tidak mampu memberikan petunjuk (HIDAYAH) kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang dia kehendakiNya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk”(Surah Al Qasas , 28 : 56)
SEMOGA ALLAH SENTIASA MENGHADIAHI SAYA HIDAYAH... DAN PETUNJUK YG BENAR.. AMIN.....
No comments:
Post a Comment