Hukum Penggunaan Vaksin Biothrax Dan Vaksin Rotateq Yang Menggunakan Unsur Babi Dalam Proses Penghasilannya
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-81 yang bersidang pada 31 Mac 2008 telah membincangkan Hukum Penggunaan Vaksin Biothrax Dan Vaksin Rotateq Yang Menggunakan Unsur Babi Dalam Proses Penghasilannya. Muzakarah telah memutuskan bahawa penggunaan vaksin BioThrax dan RotaTeg adalah tidak dibenarkan kerana:
- Situasi kini dianggap tidak dharurat;
- Terdapat bahan atau ubat alternatif selain penggunaan unsur babi dalam
pemprosesan kedua-dua vaksin; dan
- Tiada data sokongan yang kuat untuk membuktikan rakyat negara ini memerlukan kedua-dua vaksin ini.
Keterangan/Hujah:
- Anthrax adalah sejenis penyakit
berjangkit yang akut dan boleh menyebabkan kematian mengejut dan darah keluar
dari semua rongga yang terbuka. Jangkitan anthrax boleh berlaku sama ada pada
kulit (cutaneous anthrax), saluran usus (Gastrointestinal anthrax) atau serangan
melalui pernafasan (inhalation anthrax). Vaksin BioThrax™ digunakan sebagai
imunisasi atau suntikan pelalian bagi membantu melindungi daripada jangkitan
anthrax. RotaTeq pula ialah vaksin bagi mencegah kes rotavirus yang menyebabkan
muntah dan cirit birit di kalangan kanak-kanak.
- Islam mengharuskan berubat dengan benda-benda yang
diharamkan sekiranya dalam keadaan dharurat iaitu tiada ubat alternatif yang
lain adalah berpandu kepada Firman Allah s.w.t.,
Maksudnya : Dan tidak ada sebab bagi kamu, yang menjadikan kamu tidak
mahu makan sari sembelihan binatang-binatang halal yang disebut nama Allah
ketika menyembelihnya, padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu
apa yang diharamkan ke atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa
memakannya. (Surah al-An’am : 119)
- Jumhur Fuqaha’ dari Mazhab Hanafi, al-Malikiyyah, pandangan
sohih dari Mazhab Syafie dan Hanabilah berpendapat berubat dengan suatu yang
najis seperti arak adalah haram dan tidak harus. Dalam konteks ini Prof. Syeikh
Dr. Wahbah al-Zuhayli berpandangan bahawa pada asasnya, haram kita berubat benda
yang najis atau haram.
- Dalam mempertimbangkan hukum keharusan mengambil benda
haram dalam situasi dharurat beberapa kaedah fiqhiyyah boleh dijadikan sandaran.
Antaranya ialah kaedah “ Dharurat mengharuskan perkara yang dilarang” atau
الضرورات تبيح المحضورات. Dalam situasi sesebuah negara yang
memerlukan perlindungan atau pelalian daripada ancaman serangan biologi seperti
anthrax atau serangan cirit birit di kalangan kanak-kanak, kepentingan suntikan
BioThrax™ dan RotaTeq tidak dinafikan sekiranya tiada alternatif lain. Walaupun
penggunaan BioThrax™ dan RotaTeq mungkin diharuskan namun pengambilan suatu yang
haram semasa dharurat dibatasi dengan kaedah الضرورات تقدر
بقدرها (dharurat dinilai sekadar keperluan). Dalam masa yang sama orang
Islam wajib berusaha bersungguh-sungguh keluar daripada situasi dharurat.
Berdasarkan kaedah ini, menggunakan suatu yang haram dalam situasi bukan
dharurat adalah dilarang.
- Penggunaan Vaksin Biothrax dan
Rotateq tidak diperlukan memandangkan Malaysia bukan dalam keadaan dharurat dan
telah ada vaksin halal untuk kegunaan umat Islam di Malaysia.
- Setakat ini umat Islam di Malaysia mempunyai pilihan untuk
menggunakan vaksin yang disahkan halal kerana pakar-pakar dalam bidang sains
farmasi di Malaysia mampu menghasilkannya.
- Gesaan supaya menggunakan vaksin-vaksin yang mengandungi unsur-unsur yang tidak halal ini juga merupakan strategi musuh-musuh Islam untuk meracuni pemikiran dan daya ketahanan umat Islam apabila terlalu banyak sumber yang haram menjadi darah daging umat Islam.
Sumber : http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-penggunaan-vaksin-biothrax-dan-vaksin-rotateq-yang-menggunakan-unsur-babi-dal
No comments:
Post a Comment